Tuesday, May 8, 2012

KEKASIH UPAHAN 8


BAB 8

NAZRATUL merenung jam di tangan. Hampir pukul 12.00 tengah hari. Waktu rehat cuma tinggal beberapa minit sahaja lagi. Wajahnya kelihatan resah.
            Telefon bimbit dicapai. Nombor Zaril didail. Sekejap sahaja, panggilannya sudah berjawab.
“Hello, my lovely Cik Azra!” Ceria suara Zaril kedengaran. Nazratul mengeluh lega. Fuh, mujur dia tak lari lepas aku bayar duit!
Zaril yang sedang membelek-belek akhbar The Star yang dibelinya sebentar tadi terus tersenyum bila mendengar keluhan lega yang kedengaran di hujung talian.
“Lega la tu sebab aku tak lari lepas dah dapat duit.”
Nazratul tersengih. Ya, dia memang lega sangat-sangat. Balik sahaja dari berjumpa dengan Zaril semalam, keresahan terus melanda dirinya. Kesal sebab terlalu mudah percaya dengan kata-kata lelaki itu. Mujur lah Zaril bukan penipu.
“Hmm, kau nak keluar makan tengah hari sekali tak?”
“Hari ni aku kena berlakon depan siapa? Afham lagi?”
Nazratul menggeleng, namun dia pantas sedar yang gelengannya itu tidak bermakna. “Taklah. Hari ni dia tak ada kacau aku pun. Aku just nak gunakan 8 jam daripada masa kau tu. Kalau tak guna, rugilah kan?”
            “Wah, ni kira nak ajak aku keluar dating la ni ya?”
Dating? Nazratul ketawa. Apa kejadahnya dia nak keluar dating dengan budak hingusan macam Zaril ni?
“Tak ada maknanya. Hari ni saja aje aku ajak kau keluar makan sekali. Sengaja nak tunjuk dekat kawan aku semalam tu yang aku ni couple dengan kau, bukan dengan Afham.”
Letih betul dia dengan bebelan Suri semalam. Tak habis-habis cakap pasal Afham. Sebabnya, pada pandangan gadis itu, Afham lebih sesuai untuk dirinya, bukan Zaril. Kata Suri, Zaril tak mungkin akan mengahwininya dalam masa terdekat. Zaril pun nampak macam tak cukup matang untuk dibuat suami. Huh, pandai-pandai aje Suri buat tanggapan sebegitu dekat Zaril. Kenal pun tidak, tiba-tiba buat tanggapan buruk macam tu.
Eh cop! Kenapa aku tiba-tiba macam membela Zaril ni? Hisy! Laju kepalanya digeleng.
            “Oh, gitu. Ha, aku on aje. Nak makan kat mana?”
“Erm, dekat kafe tempat kerja aku, boleh?”
“Tak boleh!” jeritan Zaril mengejutkan Nazratul. Berdesing telinganya dek kerana jeritan Zaril yang agak kuat. Hisy, pekak badak aku nanti!
“Kau ni, apahal nak menjerit-jerit ni? Nak kena lempang?”
“Kita makan kat luar lah ya? Kafe kat situ mesti tak sedap punya.”
            “Kau pernah makan ke kat sini? Suka hati aje cakap tak sedap. Aku makan kat sini sedap je.”
“Ala, tak kisahlah. Yang penting aku tak mahu pergi Maju Corp.”
Nazratul mengerut dahi. Kenapa dengan Zaril ni? Mati-mati tak mahu datang ke tempat kerja aku?
            “Kau ni kenapa? Asal tak nak sangat datang sini? Jauh sangat ke dari tempat tinggal kau?”
“Yang penting, aku memang tak mahu pergi tempat kerja kau. Kita makan kat tempat semalam ajelah ya? Kat Restoran Singgah tu. Okey, bye!”
“Eh, Zaril! Cop! Aku tak habis....” Zaril terus mematikan talian. Dia mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Lelaki itu mengeluh lega.
Pergi Maju Corporation? Tak boleh, tak boleh. Bahaya! Pecah rahsia aku nanti!


ZARIL menyuap nasi goreng cina itu ke dalam mulut. Nazratul pula terus merenung wajah lelaki yang sedang duduk di hadapannya ini.
“Kau ni kenapa? Dari tadi makanan sampai, kau asyik tengok aku makan aje. Apa elegan sangat ke gaya aku makan ni sampai kau tak boleh berhenti tengok aku?”
Heh. Nazratul menggeleng perlahan. Perasan! “Kenapa kau mati-mati taknak datang Maju Corp ya? Ada orang yang kau kenal ke kat sana?”
Zaril terserdak. Nasi goreng yang dimakannya terhambur ke muka Nazratul. Gadis itu memejam matanya, rapat. Dia mula geram.
“Sorry, sorry! Tak sengaja!” Butiran nasi yang melekat di wajah mulus itu segera dibersihkan dengan tisu. Zaril nak ketawa sebenarnya. Lawak tengok muka Nazratul yang penuh dengan butiran nasi. Tapi melihatkan wajah Nazratul yang jelas sedang bengang itu, terus tawanya itu disimpan di dalam hati sahaja.
            “Ei, kau ni memang suka buat aku jadi bengang tau tak!”  Nazratul terus bangun, menuju ke tandas. Sampai sahaja di tandas, dia terus membersihkan wajahnya daripada sisa makanan yang masih terlekat. Habis tudungnya! Ei, gelinya! Pengotor punya budak!
Setelah beberapa ketika, gadis itu kembali semula ke meja makan. Zaril hanya tersengih-sengih. Melihatkan sengihan itu, dia jadi makin geram. Menjengkelkan betul lah mamat ni.
            Kerusi ditarik kasar. Muka Nazratul monyok. Terus senyap suasana di antara mereka. Zaril rasa bersalah pula.
“Ala, sorry lah. Janganlah marah. Makin banyak kedut kat muka kau tu nanti.” Nazratul menjeling Zaril tajam saat mendengar usikan itu. Cis, aku tengah marah ni, dia sempat lagi nak bergurau senda dengan aku. Hempuk dahi tu karang baru tau.
            “Ala, bucuk, bucuk. Cayang, cayang. Ala,la,la,la,la... janganlah marah. Bucuk, bucuk....” Zaril memujuk lagi, sambil mulutnya dimuncung ke hadapan. Nazratul rasa kelakar pula melihat wajah Zaril dengan mulutnya yang terlebih muncung itu. Terhambur juga tawanya, namun Nazratul cepat-cepat berdehem, lalu kembali buat muka masam. Zaril tersenyum. Senang juga rupanya nak redakan marah perempuan ni.
“Kan comel kau senyum. Nak buat apa masam-masam? Buruk tau. Nanti Af taknak dekat kau dah.”
Nazratul hanya tersenyum hambar mendengar gurauan itu. Huh, bukan baru sekarang dia taknak dekat aku. Tapi dah lama dah dia tak pernah nak pun dekat aku.
            “Betul kan Af tu ex kau? Apasal kau berdua break?”
“Hisy, tak payah nak sibuklah.” Kata Nazratul, sambil menyuap nasi goreng ayamnya ke dalam mulut. Zaril tak puas hati. “Kalau kau nak kita ni nampak lebih real, kau kena lah beritahu kat aku apa sebenarnya yang jadi antara kau dengan dia. Nanti kalau dia nak berperang mulut dengan aku, senang sikit aku nak attack dia. Benda ni pun kau nak berahsia ke?”
“Eleh, banyaklah alasan kau. Kalau dah dasar penyibuk tu penyibuk jugak. Cakap aku. Kau tu, taknak beritahu aku pasal latar belakang kau apa cerita pulak? Padahal benda basic macam tu lah yang aku patut tahu, memandangkan nanti boleh aku cerita dekat kawan-kawan aku serba sikit pasal kau. Ni tak, benda macam tu pun nak rahsia-rahsia. Macamlah kau ni putera raja, tak boleh nak beritahu apa-apa pasal diri kau sebab takut nanti ada orang nak apa-apakan kau.” Nazratul menjuih mulut.
Dari semalam lagi dia tak puas hati sebab Zaril tak mahu cerita lebih mendalam siapa dia sebenarnya. Nanti kalau Alia dan terutamanya Afham nak tahu lebih lanjut pasal Zaril, dia nak cakap apa? Nak menipu apa? Baiklah kalau dia tahu fakta-fakta tentang Zaril ni daripada reka fakta-fakta palsu. Yalah, bab-bab auta ni dia lemah sikit.
‘Eh, cop! Huh, lemah apanya. Bukan ke aku dah pun buat satu penipuan besar dekat kawan-kawan aku? Yang Zaril ni kekasih aku? Itu kira aku lemah lagi ke bab auta orang ni?’ desis hatinya. Gadis itu tersenyum sendiri.
“Gila ke apa kau ni senyum sorang-sorang? Teringat kat Afham ke?” Teguran Zaril mematikan senyuman di bibir itu. Nazratul berdehem kecil. “Sibuklah.  Makan la senyap-senyap.”
Zaril senyum. Dia kembali menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Nazratul juga ikut sama menikmati makanan yang disediakan. Usai sahaja makan, Zaril terus bangun. Nazratul tertanya-tanya. Nak pergi mana pulak mamat ni?
            “Kejap ya. Aku nak keluar kejap.” Kata Zaril. Nazratul terus merenung wajah itu dengan ragu-ragu. Nak lari ke?
“Aku tak lari lah. Kejap aje. Aku nak cari benda kejap.” Zaril seolah-olah mengerti akan apa yang berada di fikiran pelanggannya itu. Nazratul termalu sendiri. “Aku tak kata apa pun.”
Zaril menggeleng perlahan. Dia melangkah keluar dari Restoran Singgah, menuju ke sebuah kedai. Nazratul pula terus menyuap makanan yang masih lagi tidak habis, sementara menunggu Zaril.
            Lima belas minit berlalu. Nazratul sudah mula goyang kaki. Risau kalau-kalau Zaril sengaja mengenakannya dengan memblahkan diri dahulu. Berkali-kali jam di tangan dikerling, menunjukkan betapa tidak senang hatinya Nazratul sekarang. Baru sahaja hendak bangun, dia sudah nampak Zaril berlari anak ke arahnya, membawa sebungkus beg plastik kecil yang berwarna putih.
“Kau pergi mana? Apasal lama sangat?” Nazratul bertanya sebaik sahaja Zaril berada di hadapannya. Lelaki itu sedikit termengah-mengah.
“Nah.” Beg plastik putih itu dihulur kepada gadis itu. Nazratul melihat isi di dalamnya. Eh?
“Tudung putih kau tu kan dah kotor sebab kena makanan aku tadi. Tu yang aku belikan tudung ungu ni untuk kau. Jauh jugak kedai tudung tu. Mengah aku.”
Zaril kembali duduk. Dia menghirup teh ais nya, menghilangkan dahaga akibat terpaksa berjalan sedikit jauh demi hendak mencari butik yang menjual tudung di sekitar kawasan ini.
Tudung bawal berwarna ungu di dalam beg plastik itu direnung lama. Sedondon dengan kemeja ungu yang dipakainya. Nazratul akhirnya mengukir senyum. “Thank you.”
Zaril membalas senyuman Nazratul. Nazratul pula rasa terharu. Baik jugak budak hingusan ni rupanya!
            “Eh, lepas ni kita nak ke mana?” tanya Zaril tiba-tiba.
“Aku nak balik opis dah. Pukul 1.10 dah ni. Nak solat lagi.”
“Habis tu macam mana dengan 7 jam lagi yang aku sepatutnya spend dengan kau?”
            “Tak apalah. Hari ni kira halal aje. Aku ajak kau keluar ni pun sebab aku nak pastikan yang kau tak tipu aku. Nanti aku fikirkan macam mana aku nak guna kau cukup-cukup untuk hari-hari yang seterusnya. Okeylah, aku nak balik opis dah ni. Hari ni aku belanja kau makan. Aku blah dulu. Assalamualaikum.”
Bil di atas meja dicapai Nazratul, lalu dia terus melangkah ke arah kaunter pembayaran. Zaril menjawab salam Nazratrul di dalam hati. Dia terus memerhatikan gadis itu, sehinggalah Nazratul hilang dari pandangan.

PEN biru di tangan dipusing-pusing. Sesekali, Nazratul memandang ke dinding di hadapannya, mencari idea apa yang patut ditulis di atas kertas putih di hadapannya itu. Tapi tak ada!
“Argh!” Gadis itu mencampakkan pennya di atas meja. Sejam duduk dekat meja tulis, kertas A4 putih di hadapannya itu masih bersih dan suci. Gadis itu akhirnya menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Penat otak, penat badan!
            ‘Kerja apa yang aku nak bagi kat Zaril ni?’ Persoalan itu bermain-main di kepala otak Nazratul. Usai sahaja makan malam dengan Puan Dalilah dan Nazmi, terus dia memerap di dalam bilik. Nak memikirkan macam mana nak guna 8 jam yang Zaril peruntukkan untuknya. Nak bagi Zaril kerja apa supaya bayarannya dekat lelaki itu tak sia-sia.
Takkan aku nak keluar makan dengan dia tiap-tiap hari? Hisy, tak boleh, tak boleh! Dia bukannya betul-betul pakwe aku! Kalau betul-betul pun, takkanlah hari-hari nak keluar makan? Aku bukannya rapat sangat dengan dia sampai tiap-tiap hari nak keluar makan!
Pen di tangan yang sedari tadi dipusing akhirnya diletak di atas meja. Nazratul menyandar tubuh ke kerusi. Matanya dikalih ke arah fail-fail yang berlambak di atas mejanya.
Lama matanya tertancap pada fail-fail tersebut. Akhirnya gadis itu tersenyum sendiri. Pennya kembali dicapai, lalu Nazratul mula menconteng sesuatu di atas kertas putih yang tadinya kosong. Asyik menulis, sehinggakan tidak sedar Nazmi sudah berada di belakangnya.
“Akak buat apa tu?” jerkah Nazmi. Nazratul terkejut. Cepat-cepat dia menutup kertas putih itu dengan kedua belah tangannya, menghalang Nazmi daripada terus melihat.
“Hah, tu apa sorok-sorok tu? Akak tulis surat cinta ek?” usik Nazmi. Kepalanya mula dipanjangkan, hendak mengintai apa yang tertulis di atas kertas putih itu.
            “Ni apa sibuk sibuk ni? Dahlah masuk bilik akak tak ketuk dulu.” Bebel Nazratul. Cepat-cepat kertas putih itu diterbalikkan. Hisy, bahaya kalau Nazmi nampak ni!
“Dah, akak tu yang pekak badak sangat. Mi dah ketuk banyak kali, nak panggil akak makan. Akak tak menyahut, tu yang Mi masuk. Kot lah akak tidur ke.”
“Tipu. Kalau Mi ketuk banyak kali, takkan akak tak sedar langsung? Eleh, macam akak tak tahu perangai Mi. Mi kan memang suka redah masuk bilik akak tak ketuk dulu.” Nazratul membidas, selamba. Sengaja sebenarnya dia berkata begitu. Dia tahu, adiknya itu takkan sesuka hati masuk ke dalam biliknya kalau dia tak beri kebenaran. Nazmi tahu menghormati privasinya.
            “Huh, yalah kak. Akak ajelah yang betul. Mi ajelah yang salah.” Malas hendak berbalah panjang, akhirnya Nazmi mengalah. “Tapi kan kak, apa benda yang akak tulis kat atas kertas tu? Kerja yang akak nak suruh budak hingusan buat? Siapa budak hingusan tu kak?”
Pertanyaan Nazmi itu membuatkan Nazratul tersentak. Eh, Nazmi ni, dapat jugak dia curi-curi tengok apa benda yang aku tulis tadi? Isy!
Nazmi tertarik sebenarnya nak tahu apa benda yang Nazratul asyik sangat tulis kat dalam kertas tu, sampaikan tak sedar pintu biliknya diketuk berkali-kali. Lagi satu, sebab dia ternampak tajuk besar kat kertas tu tertulis ‘Kerja untuk Si Budak Hingusan’. Tajuk yang memang menarik minatnya untuk tahu apa benda yang tertulis kat dalam kertas tu.
            “Tak ada siapa-siapa lah.”
“Satu tempat kerja dengan akak ek?” Nazmi bertanya lagi. Tak mahu berputus asa untuk tahu identiti si budak hingusan.
“Taklah. Rekaan je. Imaginasi akak yang tak ada kena mengena pun dengan hidup atau mati.” Kata Nazratul lagi.
“Rekaan konon. Alah, beritau ajelah Mi, kak. Poyolah nak berahsia-rahsia dengan Mi ni.”
Nazratul jadi rimas. Berkerut seribu dahinya dek kerana sikap Nazmi yang tiba-tiba dirasakan macam penyibuk ni. Terus kepala adik lelaki tunggalnya itu diluku. Nazmi mengaduh.
“Apa akak ni? Sakitlah!” Nazmi meraba-raba kepalanya yang terasa berdenyut dek kerana lukuan kuat yang kakaknya bagi tadi. Hisy, bodoh otak aku nanti!
            “Tulah, menyibuk lagi. Kan dah kena. Dah, dah, tak payah nak menggedik kat sini. Kena sikit pun nak kecoh. Bukannya berdarah pun.”
Kertas itu terus dilipat, lalu dimasukkan ke dalam laci meja.
            “Ibu masak apa malam ni?” Tanya Nazratul, cuba mengalih topik. Nazmi pula terus-terusan menggosok kepalanya yang masih bersisa lagi sakitnya.
“Menyampahla akak ni!” Nazmi terus mencebik bibir, lalu berlalu keluar tanpa menjawab soalan kakaknya. Nazratul ketawa kecil. Merajuk la tu. Macam budak-budak!

Friday, April 27, 2012

KEKASIH UPAHAN 7


BAB 7

KUNCI kereta diletak di atas meja kopi. Dia menanggalkan tudung yang membalut kepala, lalu Nazratul terus mencampakkan tubuhnya di atas sofa di ruang tamu itu. Ah, penatnya!
Siling ruang tamu direnung kosong. Dia rasa penatnya hari ini terlebih-lebih pula. Semuanya gara-gara insiden yang berlaku di Restoran Singgah siang tadi.
Pertemuan dengan Afham secara tak sengaja. Suri yang mula berminat dengan Afham setelah dia tahu lelaki itulah si pemberi bunga ros biru. Cubaan Afham untuk mendekatinya semula yang dirasakan sangat menyesakkan dada, yang akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan untuk....
Upah Zaril jadi kekasih aku dalam tempoh dua bulan?!
“Huish, apa akak ni, balik-balik kerja terus baring kat sofa ni? Dahlah akak balik kerja bau busuk, lepas tu baring kat sofa pulak. Habis busuk sofa tu nanti.”
Nazmi mengusik. Nazratul terus mencapai kusyen kecil, lalu dibalingnya tepat mengena muka adik lelakinya itu. Yes, tepat hantaran aku!
            “Sakitlah kak. Nak baling pun jangan lah baling dekat muka ni. Tak handsome nanti Mi ni, habis Ain taknak kat Mi.”
“Padan muka. Tulah, kata akak busuk lagi.”
Nazratul kembali membenamkan pipi kirinya ke sofa. Matanya dihala ke arah kaca tv.
“Mi....”
“Hmm....”
            “Akak rasa akak ni gila lah....”
“Uhuk! Uhuk!” Nazmi terserdak. Nescafe susu yang diminumnya habis meleleh keluar dari mulut. Cepat-cepat tisu dicapai, lalu dia mengelapnya. Dia merenung wajah Nazratul yang kelihatan kosong.
“Akak ni, apahal mengaku gila ni? Dah gila?”
“Entahlah Mi. Tu sebab akak rasa akak ni gila....”
            Nazratul sedar, tindakannya mengupah Zaril sebagai kekasih dirasakan sangat gila. Tapi ketika itu, dia betul-betul tidak mahu Afham terus-terusan cuba untuk mendekatinya lagi. Tapi bila difikirkan semula... Ah, dua ribu ringgit aku!
“Apasal akak ni? Kalau ada masalah cuba cerita kat Mi...”
Nazmi angkat kening. Ni mesti ada apa-apa dah jadi ni.
“Aduh, kenapa akak buat keputusan terburu-buru? Akak memang gila!”
Kini Nazratul membenamkan seluruh wajahnya ke sofa. Seketika kemudian, dia menghantuk-hantukkan kepalanya ke sofa. Nazmi yang melihat makin pelik. Hisy, memang betul-betul dah gila ke akak aku ni?
“Oi kak, kenapa ni?”
Nazratul mengangkat wajah. Dia menyeringai, menampakkan barisan gigi yang tersusun.
“Hehe, tak ada apa. Eh, ibu mana?”
            Nazmi menggeleng perlahan. Tak faham dengan tindak-tanduk Nazratul. “Umi ada dekat atas. Tengah solat Maghrib. Hah, akak ni, apa lagi? Pergilah mandi, solat Maghrib.”
“Akak public holiday la. Cop, hari ni akak tak makan malam sekali ek. Nanti akak cakap kat ibu. Akak nak keluar balik lepas akak mandi.”
            “Keluar ke mana? Jumpa siapa? Ada kerja ke?”
“Taklah. Akak nak jumpa kawan je. Dekat Old Town White Coffee.” Kata Nazratul, lalu terus mencapai tudung dan beg galasnya yang berisi komputer riba. Dia dah berjanji dengan Zaril untuk berjumpa malam ini, berbincang apa yang patut. Dia kemudiannya terus melangkah naik menuju ke bilik Puan Dalilah, ingin mengkhabarkan pada ibunya akan rancangannya untuk keluar sebentar malam ini.

            Zaril menggeleng perlahan bila melihat kelibat Nazratul yang melangkah masuk ke dalam Restoran Old Town White Coffee. Haih, tak ada ke pakaian yang macam perempuan sikit? Pergi kerja boleh pakai baju kurung, apasal kalau tak kerja mesti nak kena pakai baju-t yang super gebeh dan seluar jeans yang super longgar?
“Sorry, lambat sikit.” Kata Nazratul, lalu dia duduk berhadapan lelaki itu. Dia memesan secawan kapucino kepada pelayan restoran yang datang ke meja mereka. Zaril pula sedari tadi memandang Nazratul dengan pandangan sinis.
            “Aku nak tanya sikit....”
“Apa dia?”
“Kenapa kau suka sangat pakai baju dengan seluar yang gebeh ek? Aku fahamlah kalau kau nak kata perempuan muslimah kena tutup aurat, bukan balut aurat. Tapi kau ni melampau-lampau gebehnya. Macam selekeh aje aku tengok.”
“Biarlah. Tak ada kena mengena dengan kau pun.” Selamba Nazratul membalas.
“Apa pulak tak ada kaitan dengan aku? Cik Azra, kau lupa ke, mulai hari ni, kau tu kekasih aku? Malulah aku nak keluar dengan kau nanti.”
Nazratul mencebik. Aku kekasih dia?
            “Encik Zaril, kau lupa ke janji kau hari tu? Kau kata asalkan aku bayar kau dua ribu ringgit sebulan, aku berhak gunakan kau macam orang gaji? So, tolong jangan ingat kau akan main peranan sebagai kekasih aku kalau bukan depan Af dan kawan-kawan aku.”
Kali ini giliran Zaril pula mencebik. Eleh, nanti kalau kau suruh aku bermesra-mesraan dengan kau selain daripada depan kawan-kawan kau, siap!
            “Hah, kita nak bincang apa sebenarnya ni?” tanya Nazratul.
“First sekali, pasal bayaran aku. Aku nak kau masukkan ke nombor akaun ni.” Sehelai kertas memo putih dihulur kepada Nazratul.
“Okey. Then?”
“Second, kita kena bincang latar belakang hubungan kita. Kenal kat mana, macam mana boleh suka, siapa yang mula langkah dulu, dan segala benda yang berkait dengannya lah.”
Nazratul mengangguk-angguk. Hmm, betul juga. Perkara-perkara remeh macam ni memang perlu dibincangkan. Kalau nanti ada di antara kawan dia yang menyoal, tak adalah tergagap-gagap nak menjawab.
“Eh, cop, cop. Part siapa yang start dulu tu, tak payah bincang pun tak apa. Mestilah kita kena cakap yang kau mula dulu.”
“Apa pulak? Jatuhlah imej aku kalau aku cakap aku yang mulakan dulu untuk mengorat kau. Apa masalahnya kalau nak cakap kau yang mula dulu?”
Berkerut dahi Nazratul mendengarnya. Ei, tak sensitif langsung budak mentah ni!
            “Oi, mana boleh perempuan cakap dia yang start dulu? Dahlah aku pergi mengorat orang yang muda 6 tahun dari aku. Nanti dia orang ingat aku ni tak tau malu, dah lah perigi cari timba, lepas tu nak yang muda aje.”
“Hek eleh, setakat muda 6 tahun aje. Bukannya banyak beza pun. Tak adanya dia orang fikir kau ni tak tau malu, nak yang muda aje.”
“Woi, 6 tahun kau kata tak banyak beza? Tolong ingat sikit, waktu aku tingkatan 1, kau tu baru darjah satu tau tak? Ah, tak kira, aku tetap nak cakap kau yang mulakan dulu.”
“Yalah, yalah.” Zaril mengalah. Malas nak memanjangkan perbalahan.
“Ha, lepas tu, kita kenal kat mana? Lagi satu, aku rasa kau tau jugak sikit-sikit pasal aku. Tapi aku langsung tak tahu apa-apa pasal kau kecuali nama kau dengan umur kau. At least aku kena lah tahu family kau berapa ramai, pendidikan kau, semua-semua yang basic lah. Ha, lepas tu, kau tinggal kat mana.” Nazratul berkata. Alang-alang ni, biar aku tanya terus pasal latar belakang Zaril.
            Zaril diam seketika. Wajahnya bertukar serius. “Hubungan kau dengan aku tak lebih daripada seorang client. Kau tak perlu nak ambil tahu pasal latar belakang aku. Cukuplah kau tau yang aku masih ada ibu bapa dan aku aje yang mereka ada.”
“Tapi kenapa? Kenapa mesti benda macam ni kau nak...”
            “Hmm, untuk soalan kita kenal kat mana, kita cerita ajelah insiden dekat Tasik Shah Alam tu, but minus part where you threw my body to the ground because you thought that I was a thief. Lepas tu kita jadi kawan, selalu keluar sama-sama untuk beberapa bulan, and naturally terus jadi couple. Simple kan?”
Nazratul mengecilkan matanya. Merenung Zaril, sinis. Hmm, kenapa lelaki ni nak berahsia sangat pasal latar belakang dia ya?
            “Apasal tengok aku macam tu? Tak puas hati ke dengan cerita tu sebab tak grand?” tanya Zaril, pelik dengan pandangan Nazratul itu.
“Kenapa kau boleh sampai cepat gila kat Restoran Singgah siang tadi ek?” nada Nazratul mula bertukar syak. Tanggapannya terhadap Zaril sebagai seorang ‘stalker’ kembali muncul di kotak fikiran. Nak buat macam mana, termasuk siang tadi, gerak geri Zaril selama ini nampak meragukan. Apatah lagi bila lelaki itu tidak mahu berterus terang akan latar belakangnya yang sebenar.
“Lah, kan aku dah cakap siang tadi? Takdir Allah.” Nazratul makin syak. “Betul ke?”
“Lah, betul lah. Kalau tak, kau ingat apa? Aku stalk kau?” gurau Zaril, seraya tersenyum. Namun senyuman yang terpamer terus mati bila melihat wajah Nazratul yang jelas sedang mengesyakinya.
“Wo...woo...wooo... Takkan kau ingat aku ni stalker kau kot?”
“Bukan ke?”
            Ketawa Zaril pecah. Aduh, minah ni! Pandai betul buat lawak. Nak pecah perut aku!
“Apa kau gelak macam setan ni? Kuat betul!” tegur Nazratul. Dia tak selesa dengan tawa Zaril yang kuat tu. Rasanya satu kedai kopi boleh dengar ketawa mamat ni.
“Can’t help it, Azra! Kau buat lawak yang memang lawak gila!” Zaril kembali tertawa. Nazratul geram. “Oi, tak boleh ke kau berhenti ketawa hah? Sakit telinga tau tak.”
Zaril tersenyum, menampakkan gigi. Dia merenung wajah si gadis. “ What makes you think that I’m stalking you? There’s no benefit stalking someone who is an A.N.D.A.R.T.U, andartu aka anak dara tua!”
Nazratul mengetap bibir. Dia mencapai segelas air kosong di hadapannya, lalu dicuak ke muka Zaril. Namun lelaki itu sempat mengelak. Cis!
            “Hehe, tindakan refleks aku ni memang cepat tau. Don’t mind okey.”
“Kau panggil aku andartu sekali lagi, siap!” Nazratul memberi amaran. Benci betul kalau orang panggil dia andartu. Umur 32 tahun tak adalah tua sangat! Muda remaja lagi okey!
“Siapa suruh kau panggil aku stalker? Tak baik tau main tuduh-tuduh ni. Mak kita kata dosa!”
Uwek! Nazratul rasa nak termuntah bila Zaril buat muka comel, dengan nada suaranya ditukar menjadi seperti budak-budak. Ei, meremang bulu roma aku!
            “Sudahlah! Malas nak layan kau ni. Hah, ada apa-apa lagi detail yang kita nak kena bincang lagi?”
Zaril berfikir sejenak. Rasanya satu lagi perkara yang dia perlu tahu tentang Nazratul.
“Adik beradik kau berapa? Ibu bapa kau masih ada lagi?”
“Aku anak sulung. Ada adik lelaki sorang. Nazmi nama dia. Sebaya kau. Ayah aku dah meninggal lama dah. Sekarang ni aku tinggal sekali dengan ibu dengan adik aku.”
            “Oh, okey. Sorry sebab timbulkan pasal ayah kau.”
“Tak apa. Tak kisah pun. Hah, ada apa-apa lagi?”
“Tak ada dah kot. Oh ya, jangan lupa, waktu kerja aku dengan kau 8 jam sehari tau? So kalau kau tak panggil aku bertugas untuk kau untuk 8 jam sehari, kiranya kau rugilah tau. Tak ada ganti-ganti masa yang kau tak guna tu. Lagi satu, kau boleh panggil aku bila-bila masa yang kau nak.”
Nazratul mengangguk. Eh, tapi macam mana aku nak pastikan yang dia ni takkan lari lepas aku dah masukkan duit kat dalam akaun dia ya?
            “Macam mana aku nak pastikan yang kau takkan lari lepas aku dah bayar duit dekat kau nanti? Dah lah aku tak tahu kau tinggal kat mana, siapa mak bapak kau, kenalan kau.”
Zaril hanya tersenyum. “Jangan risau. Aku bukan orang yang tak tunaikan janji. Kalau kau tak percaya, esok kau boleh call aku bila-bila masa yang kau nak, aku akan terus datang kat kau macam superman nak selamatkan orang.”
Nazratul merenung Zaril. Betul ke mamat ni takkan tipu aku? Kalau berdasarkan intuisi hati, memang aku yakin dia bukan penipu. Tapi bila difikirkan balik, tak mustahil dia ni akan lari lepas aku dah bayar duit dekat dia nanti. Hmm, nak percaya ke tak ya?
“Betul ke kau takkan lari ni? Boleh percaya ke?”
            “Boleh lah. Berdasarkan kerjasama kita sebelum ni, aku tak nampak macam orang yang menipu kau kan? Lagipun ini memang kerjaya aku. Okeylah, kalau kau tak percaya, tak apa. Untuk 2 bulan ni, kau boleh masukkan duit lima ratus ringgit seminggu. Lepas tu, kalau kau masih lagi nak gunakan khidmat aku lepas 2 bulan ni, baru kau masukkan dua ribu ringgit sekali gus. Okey?”
“Hmm, okey. Aku setuju. Tapi kalau kau lari jugak, aku doakan kau kena panah petir!” Kata Nazratul. Dia mengecilkan matanya sambil merenung Zaril dengan pandangan yang seolah-olah sedang menyumpah lelaki itu kena panah petir kalau dia menipu. Lelaki itu ketawa kecil. Hey, comel betul bila dia tengok aku macam tu!


            ZARIL menggagau kunci di poket seluarnya, ingin membuka pintu pagar apartmennya. Namun, saat terasa bahunya ditepuk, lelaki itu terus menoleh. Wajah Zaril berubah. Dia tersengih. Aduh, kenapa setiausaha papa ni boleh ada kat sini?!
“Found you!” Encik Rahman tersenyum. Puas hati sebab jejak Zaril berjaya dikesan.
“Enn...enncik... Rahhh..mann! Bbuuatt.. apaaa.. kat sini?” tergagap-gagap Zaril bertanya.
“Dah dua bulan saya cari Zaril. Saya yang sepatutnya tanya Zaril buat apa kat sini. ”
“Eheheheh.” Zaril ketawa, lalu dia terus menepis pegangan Encik Rahman. Lelaki itu ingin melarikan diri, namun Encik Rahman lebih pantas bertindak. Dia cepat-cepat meletakkan kaki kanannya sebagai penghadang, membuatkan Zaril tersadung, lalu terus tersembam ke lantai.
            “Aduh!” Zaril mengaduh kesakitan. Encik Rahman hanya tersenyum.
“Tak guna Zaril larikan diri lagi. Sekarang saya dah tahu tempat tinggal Zaril. Bila-bila masa aje saya boleh beritahu Tuan Fahmi. Jom masuk.”
Zaril menoleh. Dia menggosok pipinya yang masih terasa sakit dek kerana mukanya yang tersembam ke lantai tadi. Encik Rahman memapah lelaki itu. Kunci di tangan Zaril dicapai, lalu mangga gril apartmen itu dibuka. Mereka berdua melangkah masuk.
“Duduklah.” Zaril menjemput Encik Rahman duduk di sofa di ruang tamu. Dia melangkah ke dapur, sambil menyumpah seranah Encik Rahman di dalam hati. Aduh, macam manalah dia dapat tahu aku tinggal kat mana ni? Masalah, masalah!
            Peti sejuk dibuka, lalu Zaril mengambil dua tin teh kundur. Dia kemudiannya melangkah ke ruang tamu, lalu mengambil tempat bersebelahan Encik Rahman. Teh kundur itu dihulur kepada lelaki yang berusia 15 tahun lebih tua daripadanya itu. “Minumlah.”
“Terima kasih.” Kata Encik Rahman. Dia meneguk air itu sedikit, lalu meletakkannya di meja kopi.
“Macam mana Encik Rahman jumpa tempat ni?”
“Saya upah penyiasat untuk ekori dan siasat Zaril tinggal dekat mana. Kalau saya sendiri yang pergi, mesti Zaril akan lari lagi, macam yang selalu Zaril buat. Lepas dah pasti Zaril tinggal dekat sini, baru saya datang.”
Zaril tersengih, menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ya, dalam masa setahun ini, hampir lima kali Encik Rahman berjaya menjejakinya. Namun, lelaki itu tidak pernah tahu di mana dia tinggal. Sebab asalkan Encik Rahman datang mendekatinya, Zaril pasti berjaya melarikan diri.
            “Zaril bila nak balik semula ke Vila Indah?”
Senyuman Zaril mati. Dia terus membisu. Encik Rahman mengeluh.
“Tuan Fahmi dah berhenti menyalahkan Zaril. Sekarang Tuan Fahmi rindukan Zaril. Puan Laila sendiri pun rindukan anak dia.”
“Memang patut pun papa salahkan saya, Encik Rahman. Saya yang bunuh along dan Kak Wafi.”
Encik Rahman merenung wajah Zaril yang sedikit keruh. Dia menepuk lembut bahu lelaki itu.
            “Allah lebih sayangkan abang dan kakak ipar Zaril. Jangan salahkan diri sendiri lagi. Dah setahun benda tu jadi. Tuan Fahmi sendiri kesal sebab menyalahkan Zaril. Sudahlah, baliklah semula ke Vila Indah.”
Zaril kembali membisu. Dia merenung tin air yang berada di tangan. Macam mana dia nak balik semula ke Vila Indah? Tak mudah untuk dia buang rasa bersalahnya, sementelah dia yang menyebabkan pewaris papanya, Zafri merangkap abang kandungnya meninggal dunia. Tidak cukup dengan itu, dia juga meragut nyawa kakak iparnya, Wafiah yang ketika itu sedang hamil tujuh bulan. Dalam sekelip mata, tiga nyawa berharga melayang disebabkan kecuaiannya sendiri!
            “Puan Laila rindu sangat dengan Zaril. Kesian dia, Zaril. Sekarang ni tinggal Zaril aje tempat Puan Laila curahkan kasih. Takkan Zaril nak terus hilangkan diri, buat mama Zaril terseksa sebab rindukan Zaril?”
“Bukan macam tu, Encik Rahman. Zaril pun rindukan mama, papa....”
“Habis tu, kenapa Zaril terus hilangkan diri? Kalau rindu dekat mama dan papa, Zaril baliklah....”
            “Zaril masih tak ready lagi, Encik Rahman. Beri Zaril masa....”
“Sampai bila? Dah setahun kan? Tak cukup lagi ke?”
“Encik Rahman, tolonglah, beri Zaril sedikit lagi masa. Zaril masih tak cukup kuat untuk buang semua tu dari fikiran Zaril....” kata Zaril, sambil tertunduk merenung kakinya. Encik Rahman merenung wajah anak muda itu. Dia tahu, rasa bersalah Zaril masih belum hilang.
            “Yalah. Tapi jangan lama sangat. Kesian dekat Tuan Fahmi dan Puan Laila. Lagipun, dah tiba masanya untuk Tuan Fahmi lepaskan segala urusan syarikat pada Zaril. Zaril tahu kan, Zaril pewaris tunggal Tuan Fahmi?”
“Ya, Encik Rahman. Zaril tahu.” Pewaris tunggal papa? Ya, beban yang dahulunya tergalas di bahu along kini dah bertukar kepadaku.
            “By the way, Zaril kerja apa sekarang? Tak ada masalah duit ke? Encik Rahman tengok Zaril macam hidup susah aje.”
Matanya melilau ke sekeliling apartmen. Kecil dan sempit! Jauh beza dengan Vila Indah.
“Zaril tak rasa susah ke hidup macam ni? Tengoklah rumah ni, kecik aje. Bilik Zaril dekat Vila Indah pun lagi besar.” tanya Encik Rahman lagi. Dia tahu, anak itu tidak pernah hidup susah. Sedari lahir, dia dilimpahi dengan kemewahan. Macam mana Zaril boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan yang sebegini?
            “Zaril tak pernah rasa susah pun, Encik Rahman. Encik Rahman pun tahu kan otak Zaril ni bergeliga? Tak susah pun nak cari duit.”
Lelaki itu tersenyum. Duit yang dia peroleh hasil daripada menyamar menjadi kekasih orang cukup untuk menampung sara hidupnya selama ini. Walaupun tak ramai perempuan yang cukup ‘gila’ untuk mengupah Zaril menjadi kekasihnya, tapi upah yang Zaril peroleh setiap kali ada perempuan seperti itu sudah cukup untuk makan minum dan sewa rumah ini.
“Mana kawan serumah Zaril? Nama dia Sawfan kan?”
Zaril terkejut dengan pertanyaan itu. “Mana Encik Rahman tahu?”
“Penyiasat beritahu.”
“Oh.” Zaril mengangguk kecil. Lupa pula dia Encik Rahman mengupah orang untuk menyiasat gerak-gerinya. “Dia bukak warung jual burger. Selalunya pukul 1.30 pagi baru dia balik.”
Safwan, rakan karibnya sejak dari sekolah rendah. Hubungan akrab mereka berdua tak pernah renggang biarpun Safwan berpindah ke Pahang ketika mereka masih di darjah 5. Biarpun status keluarga dan taraf pendidikan yang berbeza, Zaril senang berkawan dengan Safwan. Safwan baik!
            “Oh. Hmm, okeylah, Zaril. Encik Rahman nak balik. Dah lewat ni. Zaril, jangan lari lagi dari Encik Rahman. Kalau tidak, nanti sekali lagi Encik Rahman jumpa Zaril, Encik Rahman seret terus balik rumah.”
“Hehe, ya lah, Encik Rahman.”                                            
            Encik Rahman bangun, ingin berlalu dari rumah itu. Zaril membontoti pembantu peribadi papanya itu. Sampai di muka pintu, mereka berdua bertukar salam.
Pintu apartmen tertutup rapat. Encik Rahman menggagau kocek seluarnya, mencari telefon bimbit. Dia harus melaporkan semuanya kepada Tuan Fahmi. Kasihan Tuan Fahmi, sudah lama mengharap khabar berita daripada anak bongsunya ini. Alhamdulillah, berjaya juga dia mengesan di mana Zaril.

Thursday, April 19, 2012

KEKASIH UPAHAN 6

BAB 6

“AMBOI, romantik betul pakwe kau ni. Siap buat delivery bunga lagi kat kau. Bertuah betul kau dapat lelaki tu, Azra!”
            Suri tersenyum, sambil membelek-belek jambangan bunga ros biru yang terletak di atas meja Nazratul itu. Kecoh satu Maju Corporation bila ada pekerja dari kedai bunga datang ke pejabat mereka hanya untuk membuat penghantaran bunga. Tambah-tambah lagi apabila penerimanya ialah Nazratul, perempuan yang mereka anggap tak mungkin akan terlibat dalam percintaan romantik seperti ini!
Kata-kata Suri tidak dipedulikan Nazratul. Dia merenung kad yang dihantar bersama-sama dua belas kuntum bunga ros biru ini.
           
‘I won’t give up, because I love you. Af pasti, Azra milik Af.’

“Siapa lelaki tu, Azra? Aku kenal ke pakwe kau ni? Argh, jelesnya aku. Kalau dia kahwin nanti, mesti dia jadi romantik macam Seth Tan dalam cerita Nora Elena tu kan? Aduh, kalau suami aku macam Seth Tan tu, bestnya!”
Dahi Nazratul makin berkerut. Dia merenung wajah Suri dengan pandangan tajam. Seth Tan, Seth Tan, Seth Tan!
“Kau ni tak ada nama lain ke kau nak sebut? Dari dok sebut nama tu, baik kau pergi sebut nama-nama Allah, lagi bagus. Dapat jugak pahala.”
Selamba gadis itu memerli. Benci betul dia bila rakan-rakan sepejabatnya, terutama golongan Hawa yang asyik kagum dan bercerita tak habis-habis pasal keromantisan Seth Tan dalam drama Nora Elena tu. Sudahlah dia memang tak suka dengan cerita-cerita romantis, lepas tu dia asyik disogok dengan drama Nora Elena yang penuh dengan adegan romantis itu. Menyampah!
“Ala kau ni, biasalah tu. Semua kaum Hawa memang macam ni. Suka tengok drama-drama romantik.”, kata Suri. Nazratul mencebik.
            “Siapa kata semua kaum Hawa suka tengok drama romantik macam tu? Aku ni kaum Hawa, tak pernah suka pun. Itulah masalah perempuan sekarang. Asyik berangan nak dapat pakwe romantik lah, suami romantik lah, itu lah, ini lah. Tak sedar ke yang semua tu cuma rekaan semata-mata, tak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang mati? Sedangkan jalan cerita kau dengan suami kau tu skrip yang Allah tuliskan untuk kau. Bersyukurlah kau dapat suami macam tu, biarpun dia tak romantik. Sekurang-kurangnya dia jujur dengan kau, tak pernah main-mainkan perasaan kau.”
            Nazratul sedikit emosional. Baik lagilah lelaki yang tak romantis daripada lelaki yang menipu dan memainkan perasaannya macam Afham ni.
“Alah, sorrylah. Yalah, yalah. Aku tak cakap dah pasal Seth Tan. Kau ni, orang nak usik sikit pun salah.”
Suri merenung wajah Nazratul yang kelihatan monyok. Suri tersenyum kelat. Dia cuma bergurau sahaja, hendak mengusik si tomboi ini. Tapi tak pasal-pasal pulak dia dapat ceramah free. Hmm, tapi betul pun apa yang Azra kata.
            “Kau pun satu, dah tahu aku memang tak suka dengan cerita-cerita romantik, kau pulak asyik bukak cerita pasal keromantisan lelaki kat sini. Kan dah kena bambu. Dah la mood aku tengah tak baik ni...”
“Kau ni, pelik aku. Perempuan dapat bunga selalunya seronok. Ni kau tak. Apasal kau macam bengang sangat tengok bunga ni?”
Ya, Suri pelik. Nazratul nampak macam bengang sangat. Tak suka dengan kehadiran jambangan bunga itu.
“Macam yang aku cakap tadilah. Kan aku tak suka benda-benda romantik ni. So mestilah aku tak suka bila ada orang nak beromantik-romantik dengan aku.”
Nazratul berbohong. Bukan itu sebabnya kenapa dia susah hati. Tapi sebab lain. Afham ni, tak reti bahasakah? Tak faham ke yang aku dah ada Zaril? Tapi yalah, itu cuma lakonan sahaja. Ah, tak kisahlah! Yang penting, takkan Afham tak faham yang aku ni dah ada kekasih baru? Hisy!
“Oh, mamat yang hantar bunga dekat kau ni bukan pakwe kau lah ya?”
Nazratul mengangguk. Suri tersenyum.
            “Haha, mamat ni nak ngorat kau tu, tapi dia ni tak kenal lagi perangai kau macam mana. Ala, maafkan ajelah dia Azra. Tak payahlah nak marah kat dia.”
Suri ketawa kecil. Azra, Azra. Itupun nak marah ke? Biasalah tu, taktik bagi bunga tu adatlah bila lelaki tu nak memikat perempuan yang dia suka!
“Banyaklah kau. Ha weh, aku nak tanya. Kau kata ada syarikat baru nak Maju Corp uruskan akaun dia orang kan? Apa nama company tu?”, tanya Nazratul, cuba mengalih topik.
            “Eleh, pandai betul kau alih topik kan?”
“Taklah. Aku serius ni. Apa nama syarikat tu?” tanya Nazratul lagi.
“Berjaya Group. Esok mereka datang kalau tak salah aku. Eh, weh, aku blah dulu lah. Ada kertas kerja aku nak kena siapkan. Kejap lagi kita lunch sekali okey.”
Nazratul mengangguk. Suri pula terus melangkah keluar dari bilik itu. Sebaik sahaja pintu ditutup, Nazratul mengeluh lega. Pandangannya kembali dihala ke arah jambangan bunga ros biru itu. Haih!

BUKU menu itu dibelek-belek. Setelah membuat keputusan ingin makan apa, Nazratul dan Suri terus memesan makanan yang dimahukan kepada pelayan Restoran Singgah itu.
            “Eh, Azra. Tu bukan kawan kau yang datang cari kau kat opis hari tu ke?” Suri menjuih bibir ke arah Afham yang sedang melangkah masuk bersama seorang lagi lelaki. Nazratul yang sedang syok melayan perasaan tersentak. Terus dia menoleh. Wajahnya berubah.
“Betul kan tu kawan kau?” Suri bertanya lagi, inginkan kepastian.
            Nazratul hanya mendiamkan diri. Ya Allah, kenapa Afham dengan Farouq boleh datang makan kat sini!
“Weh, asal kau ni?” Suri pelik melihat Nazratul yang tidak senang duduk. Gadis itu hanya merenung ke sisi kanannya, cuba mengelak daripada memandang ke sisi kirinya. Apa masalah minah ni?
“Kau ni, kawan kau tu. Takkan taknak tegur kot? Apasal dok sorok macam kura-kura ni?”
            “Hisy, diamlah. Kau ni, tak payahlah pandang-pandang. Aku taknak dia nampak aku.”
Kata Nazratul, separuh berbisik. Dia meletakkan jari telunjuknya di bibir, tanda menyuruh Suri senyap.
“Eh, Af. Tu Azra kan?”
“Mana Farouq? Mana?”, tanya Afham, seraya matanya melilau-lilau ke sekeliling Restoran Singgah. Rezeki ni kalau dapat jumpa Azra!
            “Tu, yang tengah duduk kat tepi kaunter tu.” Kata Farouq sambil menuding ke arah meja tempat Nazratul dan Suri duduk. Afham yang melihat terus tersenyum lebar. Dia pasti, si gadis yang memakai baju kurung dan bertudung hitam itu adalah Nazratul.
“Ha, betul lah Azra tu.” Afham mengiyakan dakwaannya. Mereka berdua terus melangkah ke arah Nazratul dan Suri.
“Weh, kawan kau tu datang kat sinilah. Tak payahlah nak jadi kura-kura lagi.” Suri menegur. Kelakar pula dia tengok kepala Nazratul yang seboleh-bolehnya ditunduk ke bawah. Memang dah macam kura-kura tengah nak bersembunyi bawah cangkerangnya.
            “Oi, Assalamualaikum mek.” Suara garau itu memberi salam. Nazratul mendongak, memandang wajah Farouq. Dia tersenyum kelat.
“Waalaikummussalam, Farouq...” Nazratul berkata, perlahan. Farouq tersenyum. Afham pula tidak henti merenung Nazratul yang jelas kelihatan tidak selesa.
“Kenalkan Suri, ni Farouq dengan Afham. Kawan satu sekolah dulu. Farouq, Af, ni Suri, rakan sekerja aku.” Nazratul memperkenalkan Suri kepada Farouq dan Afham. Masing-masing hanya tersenyum.
Afham menarik kerusi di sebelah Nazratul, ingin duduk bersebelahan gadis itu. Namun Farouq sempat menyiku pinggang Afham.
“Woi, tak malu ke? Azra, kau dengan kawan kau tak kisah ke kita duduk sekali? ”, tanya Farouq.
“Eh, tak apa. Kita orang tak kisah. Duduklah,duduk. Boleh berkenalan dengan kawan-kawan Azra, menambah kenalan sesama Islam.” Suri mengajak. Nazratul mengetap bibir. Perempuan ni memang nak kena hempuk lah!
            “Duduklah.” Ajak Nazratul, acuh tak acuh. Farouq dan Afham terus mengambil tempat di kerusi. Mereka juga membelek menu, lalu memesan makanan yang diinginkan kepada pelayan restoran.
“Azra, dapat tak bunga ros yang Af hantar pagi tadi?”
“Uhuk! Uhuk!” Nazratul yang sedang menghirup jus oren terserdak. Pantas Afham mengambil tisu, lalu menghulurkannya kepada Nazratul. Suri sudah mula tersenyum sumbing. Hoho, inilah mamat bunga tu rupanya!
“Apalah Azra ni, itu pun nak terserdak. Tapi Af suka bila Azra gelabah, comel.”
Tersentap Nazratul mendengarnya. Rasa nak muntah pun ada dengar pujian yang Afham bagi tu. Hisy, sejak bila aku kau dah bertukar jadi Af dan Azra? Masa tengah bercinta dulu pun tak pernah berubah, apahal tiba-tiba si penipu ni guna Af dan Azra sebagai bahasa panggilan pulak?
            “Mm, dah dapat dah. Tapi aku dah campak dalam tong sampah. Alergi dengan bunga.” Bohong Nazratul, selamba. Padahal bunga tadi masih elok berada di atas mejanya. Dan dia tak pernah pun alergi dengan bunga.
Wajah Afham berubah. Dia tersenyum kelat. Farouq simpati.
“Eleh, tipu aje dia ni Encik Afham. Tadi waktu saya ajak dia keluar, ada je bunga tu atas meja dia. Azra pun mana ada alergi kat bunga... Aduh!”
Kaki Suri ditendang kuat. Wajah Nazratul masam mencuka, berang dengan Suri yang mendedahkan tembelangnya. Afham yang mendengarnya kembali tersenyum.
“Sakitlah Azra! Kau ni kaki aku ni bukan bola tau!”
“Sorry, aku ingat aku tengah tendang kaki meja, rupanya kaki kau.”
Suri mencebik. Dia menggosok-gosok kaki kanannya yang ditendang Nazratul.
            “Oh ya ke? Tak apa, tak apa. Kalau betul pun Azra ada alergi dekat bunga, apa susah. Nanti esok saya start bagi hadiah coklat pulak. By the way, tak payah panggil saya Encik Afham. Panggil saya Af aje. Saya pun boleh panggil awak Suri kan?”
Laju Suri mengangguk, sambil tersenyum. Wah, dah merancang nak buat penghantaran coklat pulak lepas ni? Terus dia memandang Nazratul, penuh makna.
“Tak payah. Aku tak suka coklat. Nanti kencing manis.”
“Kalau tak suka jugak, Af hantar teddy bear, nak?”
            Nazratul mengetap bibir. Dahinya berkerut beribu-ribu. Afham ni memang jenis yang tak tahu malu dan tak faham bahasa ke? Dulu tak macam ni pun.
“Aku taknak apa-apa pun dari kau. Aku ada duit aku sendiri. Semua tu kalau aku nak aku boleh beli. Kau bukannya bapak aku, yang kau nak beli macam-macam untuk aku tu kenapa?”
“Lah, apa masalahnya kalau Af nak beli semua tu untuk Azra? Af ikhlas nak bagi, apa masalahnya?”
Ikhlas nak bagi? Nazratul tersenyum sinis.
            “Ikhlas apa kalau ada udang di sebalik batu. Tak payah kau membazir Af, baik kau pergi derma dekat tabung masjid ke, rumah anak-anak yatim ke, dapat pahala. Kan ke lagi bagus?”
Afham terdiam. Farouq perasan akan suasana yang berubah jadi tidak begitu menyenangkan. Suri mencuit lengan Nazratul. Kenapa Azra ni dingin sangat ni?
“Wah, laparnya perut aku! Bilalah makanan ni nak sampai kan?” Farouq bersuara, cuba menjernihkan suasana yang agak keruh. Dia mencuit Afham, mengharapkan sahabatnya itu tidak lagi terus membicarakan soal ini.
“Azra, tak boleh ke kita jadi mesra macam dulu? Af...”
            “Boleh tak kalau aku nak ajak pakwe aku datang makan sekali dengan kita?”
Riak wajah Afham berubah. Terkejut dengan kata-kata yang keluar daripada mulut Nazratul. Farouq dan Suri juga turut terkejut.
“Kau... kau ada pakwe?” tanya Suri, sambil membulatkan matanya.
“Haah. Kejap ya, aku nak call dia.” Nazratul terus mencapai telefon bimbitnya, lalu menuju ke arah tempat yang sedikit tersorok. Nombor Zaril terus dicari, lalu dia menekan butang panggil.
“Ya, Cik Azra? Ada apa yang boleh saya bantu?” Suara di hujung talian kedengaran. Nazratul menarik nafas panjang.
“Aku setuju dengan tawaran kau hari tu. Aku upah kau untuk menyamar jadi kekasih aku. And sekarang ni aku perlukan kau. Datang dekat Restoran Singgah, PJ.”
            Zaril tersenyum. “Okey, sayang. Tunggu ya. Lagi seminit ayang sampai.”
Talian terus dimatikan tanpa sempat Nazratul membalas. Kebetulan dia kini sedang berada di hadapan Restoran Singgah! Dan dia sudah pun dapat melihat kelibat Nazratul yang sedang berdiri tidak jauh darinya!
Huh, seminit? Nazratul tidak percaya. Gila ke mamat ni?
“Azra!” Suara garau itu mengejutkan Nazratul yang sedang berdiri tidak jauh dari muka pintu Restoran Singgah. Bulat matanya melihatkan seorang lelaki yang berbaju t kelabu dan berseluar jeans biru! Zaril!
            Zaril melangkah ke arah Nazratul. Dia mengukir senyum buat gadis itu.
“Mm..macamm mmannna. kkkauu... boleh ssammpai..cepat nii?” tanya Nazratul, tergagap-gagap. 
“Takdir Allah. Dah, jom masuk. Kau nak suruh aku jadi lovey dovey dengan kau kat depan siapa pulak kali ni?”
Nazratul pantas sedar. Hisy, relaks Nazratul. Tak mustahil dia boleh sampai cepat sebab rumah dia dekat dengan restoran ni kan? Tolong buang tanggapan buruk kau yang ingat dia ni stalker kau!
“Jom. Ah, aku nak cakap dekat kau ni. Kalau dia orang tanya kau kerja apa, kau cakap aje kau kerja akauntan. Yang lain-lain tu, biar aku yang uruskan.”
Gadis itu melangkah masuk. Menuju ke arah Afham, Farouq dan juga Suri. Dia dapat lihat wajah Afham yang agak terkejut, namun Nazratul berlagak selamba.
            “Suri, kenalkan. Ni teman lelaki aku. Zaril. Zaril, ni Suri, teman sekerja Azra. Farouq, Af, kau dah kenal kan Zaril ni masa kenduri kahwin Alia hari tu?”
Farouq mengangguk, begitu juga Afham. Zaril dan Suri sekadar bertukar senyum, sebelum lelaki itu menghulurkan salam kepada Farouq dan Afham. Nazratul menarik nafas lega.
Zaril mengambil tempat di sebelah kiri Nazratul yang kosong. Dia memesan makanan yang dimahukannya.
            “Awak ni muda lagi dari Azra ya?” tanya Suri. Zaril mengangguk. “Muda enam tahun dari Azra.
“Kerja apa?” tanya Suri lagi.
            “Dulu akauntan. Tapi dah hampir setahun saya berhenti kerja. Nak rehatkan diri buat sementara, dan pada masa yang sama nak cari arah tuju hidup saya yang sebenarnya.”
Kata-kata Zaril itu membuatkan mereka yang berada di situ semuanya terkejut. Nazratul terus menyiku lengan Zaril, geram sebab lelaki itu beritahu benda yang tak sepatutnya.
“Habis tu awak sara hidup awak macam mana?” tanya Farouq pula.
            “Adalah, itu Encik Farouq tak perlu risau. Yang penting, saya tak pernah mintak duit dengan Azra. Kan Azra?”
Nazratul mengangguk, seraya tersengih. Dia sempat mengerling ke arah Zaril, memberikan lelaki itu renungan tajam. Heh, tak mintak duit dengan aku? Itu yang aku kena bayar dia sampai dua ribu sebulan untuk servis dia tu apa?
“Dah setahun awak berhenti kerja? Umur dah 26 tahun. Patutnya dah matang kan? Kalau awak terus tak kerja, buang masa macam ni, macam mana nak tanggung diri sendiri? Nak tanggung Azra bila dah kahwin nanti? Nak suruh Azra tanggung awak?”
Zaril hanya tersenyum mendengarnya. Sedikitpun dia tidak kisah dengan kata-kata lelaki yang tak pernah tahu akan duduk perkara yang sebenarnya.
            “Oi, Af. Apa kau ni...” Farouq menegur. Dia tidak suka dengan keceluparan mulut Afham. Kalau cemburu sangat dengan Zaril pun, agak-agaklah sikit nak melaser budak tu.
“Macam saya cakap tadilah, saya cuma nak rehatkan diri buat sementara, dan nak cari hala tuju hidup saya. Ada ke saya cakap yang sekarang ni saya tengah menganggur? Saya cuma cakap saya dah berhenti kerja jadi akauntan. Dan Encik Afham tak perlu ingatkan tanggungjawab saya sebagai suami bila saya dan Azra bernikah nanti. Saya dah umur 26 tahun, dan dah matang, macam Encik Afham cakap. So, saya cukup jelas akan tanggungjawab suami untuk sara isteri dan anak-anaknya.”
Suasana mula tegang. Zaril puas hati dengan jawapan yang keluar dari mulutnya. Tambahan pula bila tengok lubang hidung Afham yang sudah mula kembang-kempis, Zaril makin seronok. Sebijik macam kerbau tengah marah bila tengok matador layang kain merah dalam lawan kerbau dekat Sepanyol tu!
“Wah, makanan dah sampai! Makan, makan!” jerit Nazratul, sebaik sahaja pelayan restoran datang membawa makanan yang dipesan tadi. Dia ingin mengendurkan semula situasi yang tegang di meja makan itu. Suri dan Farouq mengangguk-angguk, turut bekerjasama dengan Nazratul untuk menenangkan situasi.
            Mereka mula menjamah makanan. Zaril berlagak selamba, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia hanya melayan sahaja setiap soalan yang Suri atau Farouq tanyakan padanya, sambil sesekali Nazratul menyampuk. Afham pula terus rasa sakit hati dengan keselambaan Zaril. Tapi depan orang ramai, takkanlah dia nak bertumbuk pula dengan budak mentah tu.